Hari Sabtu, 10hb April - Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Awang Haji Md Yusof, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri telah membuat Lawatan Kerja ke Mukim Sukang dan Mukim Melilas, Daerah Belait pada hari Sabtu, 25 Rabiulakhir 1431H bersamaan 10 April 2010M.
Dalam lawatan itu Yang Berhormat Pehin telah mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua rumah panjang di Mukim Sukang dan Mukim Melilas dan mendengarkan permasalahan yang dihadapi para penduduk kampung. Lawatan kerja ini adalah untuk mendengar mengenai perkembangan dan kemajuan kampung serta permasalahan yang dihadapi oleh penduduk kampung daripada ketua-ketua rumah panjang di kedua-dua mukim tersebut.
Dengan adanya lawatan kerja seperti ini dihasratkan akan memberi peluang kepada penghulu dan ketua-ketua rumah panjang berinteraksi serta memberi maklumat yang terkini kepada yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan rombongan mengenai hal ehwal kampung dan penduduk mukim tersebut. Segala masalah dan kekurangan perlu diberikan keutamaan dalam memberikan kemudahan-kemudahan sama ada yang berbentuk infrastruktur dan prasarana-prasarana yang perlu diperbaiki ataupun dipertingkatkan demi kesejahteraan rakyat dan penduduk di tempat masing-masing seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik.
Infrastruktur kemudahan awam seperti jalanraya dan dewan serbaguna yang disediakan adalah diharapkan supaya penduduk-penduduk kampung dapat menggunakannya bagi memudahkan lagi mengadakan aktiviti-aktiviti sama ada berbentuk kemasyarakatan, sosial, sukan dan sebagainya supaya akan dapat lagi meningkatkan perpaduan, persefahaman, keharmonian dan juga kemakmuran penduduk kampung.
Menyusur ke kampung-kampung akan dilaratkan ke daerah-daerah lain untuk mengetahui lebih dekat lagi kemudahan dan keperluan penduduk kampung dan untuk berkesempatan untuk beramah mesra dan mengeratkan lagi persefahaman di kalangan penduduk kampung.
No comments:
Post a Comment