Hari Sabtu, 10hb April - Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Awang Haji Md Yusof, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri telah membuat Lawatan Kerja ke Mukim Sukang dan Mukim Melilas, Daerah Belait pada hari Sabtu, 25 Rabiulakhir 1431H bersamaan 10 April 2010M.
Tujuan lawatan tersebut antara lain bagi meninjau dan melihat secara dekat mengenai perkembangan dan kemudahan-kemudahan asas yang disediakan oleh pihak kerajaan di mukim-mukim tersebut. Ianya adalah program Yang Berhormat Pehin menyusur kampung-kampung di Mukim Sukang dan Mukim Melilas. Lawatan kerja ini juga adalah untuk mendengar keperluan-keperluan penduduk kampung dari segi kemudahan asas seperti pembekalan air dan elektrik. Di samping itu, lawatan tersebut juga untuk menggalakkan penduduk kampung untuk menggerakkan aktiviti-aktiviti dan program-program yang boleh menyatupadukan dan memberikan semangat perpaduan dan menggalakkan mereka untuk berkecimpung dalam perekonomian di mana terdapat peluang-peluang yang membolehkan penduduk menggiatkan ekonomi mereka. Lawatan kerja ini akan dapat menjalin silaturahim di antara penduduk kampung dan pegawai-pegawai Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Daerah Belait.
Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Mawardi bin Haji Abdullah, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Yang Mulia Awang Haji Jamain bin Momin, Pegawai Daerah Belait; ketua-ketua Jabatan dan beberapa orang pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Daerah Belait. Rombongan juga terdiri dari agensi-agensi kerajaan yang lain seperti Jabatan Kerja Raya, Jabatan Perkhidmatan Elektrik, dan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan.
Dalam lawatan itu Yang Berhormat Pehin telah mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua rumah panjang di Mukim Sukang dan Mukim Melilas dan mendengarkan permasalahan yang dihadapi para penduduk kampung. Lawatan kerja ini adalah untuk mendengar mengenai perkembangan dan kemajuan kampung serta permasalahan yang dihadapi oleh penduduk kampung daripada ketua-ketua rumah panjang di kedua-dua mukim tersebut.
Dengan adanya lawatan kerja seperti ini dihasratkan akan memberi peluang kepada penghulu dan ketua-ketua rumah panjang berinteraksi serta memberi maklumat yang terkini kepada yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan rombongan mengenai hal ehwal kampung dan penduduk mukim tersebut. Segala masalah dan kekurangan perlu diberikan keutamaan dalam memberikan kemudahan-kemudahan sama ada yang berbentuk infrastruktur dan prasarana-prasarana yang perlu diperbaiki ataupun dipertingkatkan demi kesejahteraan rakyat dan penduduk di tempat masing-masing seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik.
Infrastruktur kemudahan awam seperti jalanraya dan dewan serbaguna yang disediakan adalah diharapkan supaya penduduk-penduduk kampung dapat menggunakannya bagi memudahkan lagi mengadakan aktiviti-aktiviti sama ada berbentuk kemasyarakatan, sosial, sukan dan sebagainya supaya akan dapat lagi meningkatkan perpaduan, persefahaman, keharmonian dan juga kemakmuran penduduk kampung.
Dengan lawatan kerja ini juga akan dapat merealisasikan projek satu produk satu kampung dengan kerjasama dan sokongan padu dari penduduk kampung. Mukim Sukang dan Mukim Melilas telah dapat menghasilkan produk-produk kampung seperti kraftangan dan pertanian. Adalah diharapkan mukim-mukim berkenaan akan terus menghasilkan pelbagai produk kraftangan dari segi kualiti dan kuantiti yang dapat dijadikan sebagai identiti mukim dan melalui penglibatan aktif para penduduk kampung dalam aktiviti perekonomian akan dapat dijadikan sebagai salah satu destinasi pelancongan di negara ini.
Menyusur ke kampung-kampung akan dilaratkan ke daerah-daerah lain untuk mengetahui lebih dekat lagi kemudahan dan keperluan penduduk kampung dan untuk berkesempatan untuk beramah mesra dan mengeratkan lagi persefahaman di kalangan penduduk kampung.
Read more!