Sunday 20 June 2010

KURSUS BIMBINGAN FARDHU KIFAYAH ANJURAN BAHAGIAN PERHUBUNGAN AWAM DAN PENYELIDIKAN, JDB DENGAN KERJASAMA JABATAN HAL EHWAL UGAMA, KB

Selasa, 8hb Jun - Kira-kira 60 peserta menghadiri kursus yang dianjurkan dan dikelolakan bersama oleh Bahagian Perhubungan Awam Dan Penyelidikan, Jabatan Daerah Belait dengan kerjasama MPM/K dan Jabatan Hal Ehwal Ugama Daerah Belait yang diadakan di Dewan Santap, kediaman rasmi pegawai daerah.

Kursus dikendalikan oleh pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Masjid, Awang Muhd. Zulhilmi bin Muhd. Jefri dan Awang Haji Abd. Hamid Abas yang menerangkan cara menyempurnakan jenazah dengan memandikan, mengafankan, menyembahyangkan dan mengkebumikan(4M).

Kursus kali kedua ini menyusuli kursus pertama yang diadakan dua tahun lalu bagi pegawai dan kakitangan Jabatan Daerah Belait dan akan dilaratkan kepada mukim-mukim yang lain. Bagi peringkat pertama ini, Mukim Kuala Belait adalah mukim pertama yang menyertai kursus bimbingan fardhu kifayah ini.

Pihak pengelola akan mengadakan beberapa kursus yang berkebajikan dalam usaha meningkatkan lagi kualiti, dedikasi penghulu dan ketua kampung serta memantapkan lagi pentadbiran, pengurusan penghulu mukim dan ketua kampung serta ahli-ahli MPMK.

Kursus antara lain bertujuan memberikan pengetahuan lebih mendalam tentang pengurusan jenazah melalui 4M kepada peserta kursus terutama penghulu mukim dan ketua-ketua kampung yang merupakan pemimpin akar umbi yang bukan saja menjadi 'lidah', 'telinga' dan 'mata' kerajaan tetapi juga sebagai contoh kepada penduduk kampung khususnya dalam majlis-majlis tertentu di kampung masing-masing terutama sekali mengenai pengurusan jenazah.

Read more!

Tuesday 15 June 2010

MAJLIS PENUTUPAN PERKHEMAHAN TUNAS PUTERI SEKOLAH-SEKOLAH RENDAH SENEGARA KALI KE-3 TAHUN 2010

ISNIN, 7 Jun. - Lebih 80 orang tunas puteri dari 15 buah sekolah rendah kerajaan dan swasta dari Daerah Belait, Tutong dan Brunei dan Muara menyertai Perkhemahan Tunas Puteri Sekolah-sekolah Rendah Senegara Ketiga yang diadakan di Sekolah Rendah Pengiran Setia Negara (PSN) Pengiran Mohd. Yusof, Lorong Tiga Selatan.

Perkhemahan tiga hari dianjurkan dan dikelolakan oleh Bahagian Pasukan beruniform, Jabatan Pendidikan Kokurikulum antara lain bertujuan bagi mengeratkan siraturahim di antara ahli-ahli tunas puteri dan mengisi masa lapang ahli-ahli dengan melakukan perkara yang berkebajikan dan berfaedah.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis penutupan Perkhemahan Tunas Puteri Sekolah-sekolah Rendah Senegara kali ke-3 ialah Penolong Pegawai Daerah Belait, Yang Mulia Awg Haji Abdul Hamid bin Dato' Paduka Haji Abdullah.

Acara dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah beramai-ramai. Selepas itu nyanyian Lagu Kebangsaan beramai-ramai dikuti dengan Lagu Dunia. Majlis juga diserikan lagi dengan persembahan dari peserta perkhemahan dan ucapan daripada wakil peserta, salah seorang ahli Tunas Puteri. Penyampaian sijil penyertaan dan hadiah-hadiah disampaikan oleh Tetamu Kehormat Majlis. Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada Tetamu Kehormat Majlis yang disampaikan oleh Yang Mulia Awg. Jalil bin Pengarah Haji Kapitan, Ketua Bahagian Pasukan Beruniform, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam.


Read more!

Monday 14 June 2010

LAWATAN KERJA YANG BERHORMAT MENTERI HAL EHWAL DALAM NEGERI

BELAIT, 7 Jun - Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Major Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Md Yussof, Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri telah membuat Lawatan Kerja ke Jabatan Daerah Belait dan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria pada hari Isnin, 24 Jamadilakhir 1431 bersamaan 7 Jun 2010.

Lawatan kerja Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Yang Dimuliakan Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ialah yang pertama kali ke Daerah Belait. Lawatan kerja ini adalah siri lawatan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ke Jabatan-jabatan di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
Tujuan lawatan kerja ini adalah untuk meninjau dan mengenali lebih dekat lagi Jabatan-Jabatan di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan pada pagi ini ialah lawatan kerja ke Jabatan Daerah Belait dan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria. Ianya juga bertujuan untuk mengetahui dengan lebih lanjut struktur organisasi, peranan dan urusan-urusan kerja yang dikendalikan oleh Jabatan Daerah Belait dan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria dalam membantu jabatan-jabatan tersebut mencapai visi dan misinya. Di samping itu juga ianya bertujuan untuk berkenal-kenalan dan mengeratkan tali silaturahim dengan pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan di jabatan-jabatan berkenaan dan seterusnya mengukuhkan semangat kerjasama dan melakukan tugas dan tanggungjawab yang tersedia.

Yang Berhormat Menteri mengambil maklum akan persiapan-persiapan dan persediaan-persediaan yang sedang giat dilaksanakan oleh Jabatan Daerah Belait dan bagi acara perayaan yang telah disusun atur dengan fokus utama pada Majlis Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Bercemar Duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Belait.

Hadir sama semasa lawatan kerja tersebut ialah Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Major Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Hj Md Yussof, Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri; Yang Mulia Awang Haji Mawardi bin Haji Abdullah, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; YM Awang Lutfi bin Abdullah, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Lawatan kerja Yang Berhormat Menteri bermula di Jabatan Daerah Belait. Yang Berhormat Menteri telah mendengar taklimat daripada Pegawai Daerah Belait, YM Awang Matusin bin Orang Kaya Sura Haji Tuba. Antara lain isi kandungan taklimat tersebut ialah struktur organisasi jabatan berkenaan dan juga fungsi setiap bahagian yang terdapat di Jabatan Daerah Belait. Yang Berhormat Menteri di dalam ucapannya telah menekankan kepentingan untuk bekerjasama dan turun padang bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat dan penduduk terjamin. Sikap kerjasama tersebut adalah penting sebagai tanggungjawab bernegara untuk memastikan bahawa jentera kerajaan adalah berkesan dan perkhidmatan yang diberikan memberikan keyakinan kepada orang ramai yang mana keyakinan tersebut memberi peluang pihak kerajaan berfungsi dengan lebih berkesan lagi. Yang Berhormat Menteri berkata penyertaan belia dalam pembangunan negara di daerah ini adalah cukup baik dan aspirasi belia dalam sama-sama menyumbang kepada pembangunan negara hendaklah dihargai dan diambil kira.

Yang Berhormat Menteri berserta rombongan juga telah melawat ke bahagian-bahagian di Jabatan Daerah Belait.


Read more!